Friday, March 11, 2011

kecoh Betol - gempa bumi kat Jepun

Tsunami melanda kawasan bandar pelabuhan Kamaishi di Japan hari ini. — Foto Reuters


TOKYO, 11 Mac — Gempa bumi terburuk dalam 140 tahun, yang melanda timur laut Jepun tengah hari tadi (waktu Malaysia), meragut 22 nyawa setakat dan angka kematian dijangka terus meningkat.
Bencana ini bukan sahaja mencetuskan tsunami 10 meter, tetapi menyebabkan kebakaran kawasan industri.
Gempa bumi pada skala 8.9 ini menyebabkan seorang terbunuh di Fukushima, utara Tokyo, di mana empat juta orang terputus bekalan elektrik.
Amaran tsunami juga dikeluarkan di Sabah, Malaysia selain di Filipina, Taiwan dan Indonesia.
Malah amaran yang sama dikeluarkan di Colombia dan Peru.
Gegaran susulan juga dialami.
Satu loji penapisan minyak di Tokyo juga terbakar manakala beberapa dozen dipercayai terancam.
Tsunami juga menyebabkan kesemua pelabuhan di Jepun ditutup.
“(Keadaan) sungguh huru-hara. Kesemua operasi digantung,” kata broker kapal.
“Pelabuhan-pelabuhan akan ditutup sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu sehingga penilaian kemusnahan boleh dilakukan,” katanya lagi.
Broker kapal menjangkakan bayaran perkhidmatan kapal akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan loji-loji tenaga mendapatkan semula simpanan bekalan manakala syarikat-syarikat keluli pula dijangka mengimport lebih banyak besi untuk proses pembinaan semula.
Laporan berkata tsunami juga dipercayai menjejaskan stok arang batu yang digunakan untuk tujuan penjanaan tenaga.
“Saya amat takut dan saya masih bimbang,” kata Hidekatsu Hata, 36, pengurus sebuah restoran mi Cina di kawasan Akasaka di sini.
“Saya tidak pernah menyaksikan gempa bumi seburuk ini,” kata beliau.
Beberapa loji tenaga nuklear dan pusat penapisan minyak juga ditutup manakala satu loji keluli utama terbakar.
Menteri-menteri Kabinet mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu-isu nuklear selepas laporan media mengatakan kerajaan akan mengisytiharkan situasi darurat tenaga nuklear, yang akan dibuat jika ada pengesahan kebocoran radioaktif atau sistem penyamanan reaktor dihentikan.
Sebuah hotel di Sendai runtuh dan ada mangsa dipercayai tertimbus dalam kejadian itu.
Pengeluar raksasa elektronik Sony Corp menutup enam kilangnya. — Reuters




No comments:

Post a Comment